
Hari ini...aku tiada plan nak ke mana-mana. Fikiran ku agak berkecamuk. Diskusi malam tadi masih segar di ruang kepalaku ini.
Selepas bangun dari tidur, kedengaran suara yang agak sumbang. Telinga ini amat perit mendengarnya. Tidak lain dan tidak bukan...apa yang kuceritakan dan luahkan pada teman ku Nik, benar-benar berlaku. Aku jadi tidak tentu arah.
Selepas menyiapkan diri, aku terus mencapai kunci kereta. Aku tidak lagi boleh bertahan. Mataku sudah mulai berkaca. Aku lari ke arah keretaku. Mesej aku hantar kepada Nik. Tak tahu nak menuju ke mana tetapi aku teruskan jua.
Keretaku meluncur laju tanpa arah tujuan. Aku ke Putrajaya. Tiba-tiba Nik memberi cadangan untuk berjumpa. Aku hanya bersetuju. Dari Putrajaya aku meluncur ke arah highway. KL Central. Aku akan mengambilnya dari sana. Sepanjang perjalanan aku banyak berfikir. Jalan agak sesak di Sungai Besi. Janjiku untuk sampai pada 2 petang. Masih ada masa lagi. Hujan agak lebat juga mengaburkan pandangan. Aku mencapai cermin mata yang dah lama tidak ku pakai.
Tepat jam 2 aku sampai di KL Central. Dari jauh aku sudah dapat melihat kelibat seorang temanku itu. Aku hanya senyum. Masuk ke dalam keretaku. Nampaknya dia juga sedang sugul kerana masalah yang melanda. Aku tidak banyak bercakap. Masing-masing melayan perasaan yang sedang berkecamuk di dalam kepala.
Akhirnya Nik memecah kesunyian. "Apa yang berlaku?" Aku hanya mendiamkan diri. Aku berperang dengan perasaanku sendiri. Akhirnya aku mula bercerita. Tidak sedikitpun aku berselindung. Aku sudah tiada siapa lagi di sini. Hanya dia yang mampu mendengar keluhanku. Sesekali dia tenang berbicara memujukku untuk bersabar.
Aku tiada tempat untuk mengadu. Mengharap pada yang seorang itu, aku pun sudah buntu ke mana kami akhirnya. Adakah jodoh kami masih panjang. Aku tidak mahu lagi untuk memikirkannya. Hanya tuhan sahaja yang dapat menentukan jodoh kami ini. Sepanjang perjalanan, aku bercerita panjang. Seolah-olah perkenalan ini sudah lama. Aku tidak menghiraukan lagi segan itu melanda. Aku sangat buntu. Apa yang ku tahu, Nik sahaja yang dapat mendengar. Destinasi yang dituju sudah tiba. Kami terus mendapatkan makanan untuk mengalas perut. Agak lapar. Tetapi makanan yang aku pesan tidak habis ku makan. Begitu juga dia.
Runsing dengan masalah yang menghimpit, kami bersetuju untuk ke pusat karaoke. Aku masih tertanya-tanya adakah benar untuk kami ke situ. Tanpa berfikir panjang kami terus menempah sebuah bilik. Aku melihat Nik yang tadi agak diam tiba-tiba menjadi aktif dan tidak sabar-sabar untuk mendendangkan lagu. Aku membiarkan sahaja apa yang berlaku di situ.
JAM sudahpun 7 petang. Kami masih berlegar-legar di sini. Sangat berat rasanya untuk pulang ke rumah. Dalam kereta, tiba-tiba dia mengalirkan air mata. Aku seperti biasa. Tidak tahu untuk berbuat apa. Hanya mencapai tisu untuknya. Kelihatan tidak tentu arah setelah mendapat mesej dari temannya. Aku hanya mampu untuk melihat. Aku biarkan sahaja sehingga dia benar-benar tenang baru aku akan bersuara. Keretaku seolah-olah tidak kenal jalan pulang. Akhirnya dia bersuara untuk ke Bandar Permaisuri. Aku hanya mengangguk.
Makan. Diam. Pandang tepat pada matanya. Masih berkaca. Aku membuka laptop ku untuk mengalih fikirannya dari mengingati mesej yang diterima. Aku tidak tahu di mana hendak memulakan bicaraku. Aku takut dia tersentuh. Aku cuba untuk berdiskusi. Masalah yang melanda aku telah ku campak jauh-jauh. Sekarang fokusku adalah teman baikku ini. Pada mulanya aku yang bermasalah, tetapi Tuhan itu hendak menduga. Dia menduga aku dan Nik untuk bersemuka dengan masalah yang satu ini.
Aku biarkan sahaja dia melayan perasaannya. Sesekali aku mencuri-curi untuk memandang matanya. Masih berkaca. Sebagai seorang senior, aku berbicara. Dia sudah mula boleh menerima. Aku sangat bersyukur. Tanpa di sedari, jam sudahpun 9 malam. Aku berkata pada diriku sendiri. Inilah dugaan hidup yang terpaksa kita tempuhi. Walau berat, walau sukar untuk diterima, tetapi aku sentiasa memegang kata-kata ibuku... BERPIJAKLAH PADA BUMI YANG NYATA... Buat temanku, ku doakan agar kau dapat mengatasi dugaan itu..Untuk diriku, aku pasrah...sekiranya aku tiada jodoh dengannya, Aku redha.
No comments:
Post a Comment